Sunday 27 February 2011

SIKAP MENENTUKAN KECEMERLANGAN - Berjimat Berkat, Membazir Mudarat

Berjimat cermat bererti menggunakan sesuatu dengan penuh berhati-hati, penuh teliti dan penuh bijaksanaan.

Dalam Tonggak 12, kerajaan telah mengenengahkan kepentingan dua belas nilai dan norma-norma kerja menyebutkan bahawa nilai dan norma kerja kesembilan iaitu kemuliaan kesederhanaan dimana amalan positif ialah berjimat cermat; manakala amalan negatif dan dilarang ialah membazir dan merosakkan harta Kerajaan.

Agama Islam tidak menyuruh umatnya meninggalkan segala nikmat kehidupan yang disediakan di dunia ini sepertimana firman Allah dalam Surah Al-Qasas, ayat 77 yang bermaksud:
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan kebahagiaanmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan."

Ayat tersebut menjelaskan supaya kita mencari rezeki yang ada di muka bumi ini dan menggunakan rezeki yang dikurniakan oleh Allah itu dengan sebaik-baiknya dengan menyediakan keperluan diri sendiri dan keluarga serta berbuat baik kepada makhluk Allah dengan cara bersedekah dan sebagainya bagi mendapatkan pahala dari Allah jua sebagaimana Allah telah mengurniakan rezeki ke atas hambaNya dan Allah tidak suka orang-orang yang membuat kerosakan dimuka bumi ini seperti bakhil atau kikir dalam mengeluarkan zakat dan sedekah, melakukan pembaziran atau boros dan sebagainya.

Agama Islam melarang umatnya melakukan pembaziran kerana ia dianggap sebagai perbuatan keji dan tidak bermoral. Malah orang yang bersikap boros dan membazir itu adalah rakan syaitan seperti mana dalam firman Allah dalam Surah Al-Israa' ayat 27 yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang berbuat membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu sangat kufur kepada Tuhannya."

Kesan daripada berjimat cermat bukan sahaja menjamin keutuhan dan kekuatan ekonomi kita sendiri, bahkan juga akan dapat menolong memperkukuhkan ketahanan ummah dan negara. Dengan berjimat cermat kita akan dapat menyelamatkan diri daripada berbagai tekanan seperti hutang yang tidak dapat dibayar, kehilangan harta kerana terlebih belanja daripada pendapatan atau kemampuan; dan lain-lain lagi.

Sebaliknya dengan berjimat-cermat kita dapat mengukuhkan self-esteem sebagai warga HUSM yang bebas dari hutang yang melarat; dan dengan secara bijaksana membelanjakan peruntukan yang diberi oleh kerajaan dengan memperluaskan dan meningkatkan aktiviti penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat.

Sempena Kempen Penjimatan Kemudahan Asas HUSM yang berlangsung sepanjang bulan Februari 2011

Friday 25 February 2011

PERANAN UNIT HAL EHWAL ISLAM HUSM

Sejak ditubuhkan pada 1 Jun 2004, Unit Hal Ehwal  Islam HUSM sentiasa mencari jalan untuk menambahbaikan segala keperluan dalam memenuhi konsep Hospital Mesra Ibadah. Mengikut konsep ini pesakit bukan sahaja didedahkan dengan panduan beribadat dalam keadaan sakit tetapi juga langkah menghadapi kerunsingan atau ketika tenat.
 

Pegawai agama berperanan bukan sahaja sebagai kaunselor dan pembimbing kepada pesakit berugama Islam tetapi juga sebagai sahabat kepada waris pesakit. Mereka menjalankan tugas-tugas rondaan di wad-wad selain berjumpa pesakit sekiranya mendapat permintaan di atas sebab-sebab khusus yang tidak dapat dielakkan. Antaranya ialah berjumpa pesakit yang menghadapi masalah kesihatan kronik dan disahkan tidak dapat diselamatkan lagi. Dalam keadaan ini pegawai agama akan bersemuka dengan  pesakit dan waris; dan menerangkan mengenai aspek-aspek kerohanian supaya mereka bersedia untuk menghadapinya. 

Dalam keadaan nazak pula waris pesakit akan ajar untuk membasahkan bibir pesakit dan titiskan air selain mengajar mengucap dua kalimah syahadah. Pesakit-pesakit lain akan didedahkan dengan pengetahuan asas mengenai pengurusan ibadah sama ada dalam keadaan duduk, baring, berdiri, sujud dan sebagainya.

PROJEK-PROJEK HOSPITAL MESRA IBADAH
1. Kelengkapan tanda arah kiblat wad.
2. Poket Buku pada katil Pesakit
3. Menaik taraf surau wad dan kemudahan
4. Kelengkapan Poster panduan solat bergambar pesakit
5. Buku panduan solat pesakit Versi HUSM
6. Bengkel Imbasan HMI
7. Pembentukan Standard Hospital Mesra Ibadah
8. Panduan adab ziarah/pengurusan pesakit
9. Amalan dan Doa ketika sakit
10. Kit tayammum dan kemudahan wudhu`
11. Ziarah Bimbingan keagamaan kepada pesakit

PROGRAM SEMPENA KEBESARAN ISLAM
1. SAMBUTAN MAAL HIJRAH
2. SAMBUTAN MAULIDUR RASUL
3. SAMBUTAN ISRA’ DAN MIRAJ
4. SAMBUTAN BULAN SHA’ABAN
5. IHYA` RAMADHAN
6. SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI
7. SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA

PROGRAM SEPANJANG TAHUN
1. Ziarah pesakit mingguan
2. Kursus pengurusan jenazah
3. Seminar perlaksanaan prinsip-prinsip Islam
4. Ceramah kesedaran pesakit
5. Ceramah kesedaran marah-marah kenapa kita
6. Kursus pengurusan stress dari perspektif Islam
7. Usrah bulanan setiap unit
8. Seminar aplikasi konsep perubatan Islam
9. Seminar keterampilan wanita menurut perspektif Islam